Khamis, 18 November 2010

Ibu Memberi Bukan Untuk Menerima



Saya benar-benar tersentuh. Air mata hampir menitis kata-katanya singkat, namun padat dan menyentuh. Tuan Syed (begitulah panggilan saya kepadanya) bercerita seadanya. Perlahan, seakan-akan berbual ringan.
“Cuba ceritakan apa keistimewaan ibu Tuan Syed?”
“Semua ibu istimewa.”
“Tapi saya ingin dengar kisah ibu Tuan Syed. Ya, semua ibu istimewa tetapi keistimewaan seorang ibu dengan ibu yang lain pasti tidak sama. Apa keistimewaan ibu Tuan Syed?” pinta saya seakan merayu.
“Saya teringat...” Tuan Syed mula bercerita, “Suatu hari semasa ummi sangat uzur dia ingin turun tangga melihat halaman rumah. Sakitnya kian berat. Badannya lemah. Saya papah ummi menuruni tangga.”
Saya mendengar penuh minat.
“Tiba-tiba ummi berkata. Ummi risau, kalau Ummi meninggal nanti siapa yang akan doakan kamu!”
Saya tersentak. Benar-benar tersentuh. Jika sayalah di tempat ibu Tuan Syed itu mungkin kata-kata saya berbeza. Mungkin saya akan kata begini, “Kalau Ummi meninggal nanti, siapalah di antara anak-anak Ummi yang nak doakan Ummi. Jangan lupa doa Ummi ya?” Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed di depan saya, dia bimbang kalau tidak dapat “memberi”, manakala saya, bimbang kalau tidak dapat “menerima”.
“Apa kesan daripada kata-kata ibu kepada Tuan Syed?” cungkil saya.
“Semenjak itu hingga kini, selepas lima tahun kematiannya, saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu. Kata-kata itu sangat bekesan di hati saya.”
Matanya mula berair. Sebak. Jiwa saya terpukul. Ah, lalainya aku, kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.
Kini telah hampir sebulan perbualan itu berlalu, hati saya masih sukar memutuskan siapa yang lebih bertuah, Tuan Syed yang mendapat ibunya yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik? Tapi hakikatnya, siapa yang menyayangi akan disayangi. Siapa yang paling tinggi kasihnya, dialah yang paling banyak memberi. Ya, kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!
~Dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...