Khamis, 18 November 2010

114 “Surat Cinta” Yang Tersia


Hampir tiga perempat daripada keseluruhan peserta tidak mengetahui makna bacaan solat. Keputusan ujian yang dijalankan secara santai sebentar tadi sangat mengejutkan. Apa tidaknya, ada telah berusia hampir mencecah separuh abad, ertinya telah lebih tiga atau empat puluh tahun lebih mengerjakan solat tanpa mengetahui maknannya! Bayangkan tiga puluh tahun, tempoh yang cukup lama, bukan sekadar cukup untuk memahami bacaan solat bahkan lebih daripada cukup untuk menjadi seorang hafiz!
“Bagus, ustaz buat ujian macam ni,” kata seorang peserta.
“Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang kita tak tahu” tambahnya lagi
“Betul-betul ke kita ni tidak tahu yang kita tidak tahu sebelum ini?” celah saya separuh mengeluh, separuh mengutuk (diri sendiri).
“Apa maksud ustaz?”
Saya senyum. Bukan untuk berteka-teki, tetapi sekadar mencari ketepatan makna di sebalik kata-kata.
“Saya rasa selama ni pun kita dah tahu yang kita tak tahu makna bacaan solat ni. Tetapi kita bersikap tak apa, tunggu atau nantilah. Sedar tak sedar, sikap sambil lewa kita itu berlarutan hingga puluhan tahun” ujar saya lagi.
Dia diam, kemudian mengangguk-angguk. Setuju barangkali.
“Yelah, ustaz. Kita tidak serius dengan solat”
“Punca tidak serius sebab kita rasa solat ni tak penting” tambah saya.
“Bagaimana nak rasa solat ni penting?”
“Walaupun kita dah tahu ia memang penting?”
“Betul tu. Kita tahu kepentingannya tapi tak terasa... Tertinggal solat tak rasa rugi, tak rasa bersalah atau tak rasa kesal.”
“Tapi kalau hilang duit? Terbakar rumah? Harga barang naik?”
“Wah, tu terasa betullah ustaz....”
Kami sama-sama senyum. Tapi senyum tawar. Kesal bercampur hambar.
“Siapa yang rasa solat ni betul-betul penting?”
“Nabi Muhammad S.A.W.”
“Kemudian?”
“Para sahabatnya.”
“Mengapa Rasul dan sahabatnya begitu pentingkan solat?”
Sepintas lalu, teringat kisah bagaimana kaki Rasulullah S.A.W sehingga bengkak-bengkak akubat terlalu lama berdiri dalam solat. Tebayang pula bagaimana Saidina Abdul Bin Auf r.a tega menginfakkan seluruh kafilah yakni unta-unta dan segala isinya kerana ingin menebus kelewatannya bertakbiratulihram dalam solat jemaah pimpinan Rasulullah.
“Mengapa kita berbeza dengan mereka?” detik hati saya, juga tertanya-tanya.
Semalam ketika terhimpit di celah kesesakan lalu lintas sempat saya melihat betapa ramainya orang Melayu berbondong-bondong kepasar malam untuk membeli-belah walaupun pada ketika itu waktu masuk solat maghrib tingal beberapa minit saja lagi.
“Sebab kita tak terasa Allah penting dalam hidup kita.” akhirnya saya berusaha bersama sebuah keluhan.
“Kita hanya akan berhubung dengan seseorang bila kita rasakan dia penting atau diperlukan. Bayangkan betapa resahnya jika kita tidak dapat berhubung dengan ibu bapa, anak isteri, bos saudara dan teman rapat kita.”
“Saya ada pengelaman tu ustaz. Pada suatu ketika saya berkursus di suatu tempat yang berada di luar kawasan liputan, telefon bimbit tidak dapat digunakan langsung. Saya resah, betul-betul resah, tiga hari tidak dapat berhubung dangan orang penting sepanjang tempoh di situ.”
Kalaulah rasa semacam itu dapat kita miliki ketika terlambat lebih-lebih terluput waktu solat, alangkah baiknya, detik saya dalam hati.
“Allah lebih penting daripada segala-galanya. Sebab DIA-lah yang mengadakan segala-galanya itu untuk kita”
“Kita dilimpahi jutaan nikmat.”
“Tapi kita melupakan Pemberi nikmat.”
“Sepatutnya kita hitung kesyukuran.”
“Sebaliknya kita hitung kesukaran.”
(Dialog-dialog hati ini menerjah silih beganti)
“Bayangkan, kita umpama burung kakak tua yang berkata-kata tanpa memahami makna. Tidak hairanlah kalau hati kita lalai dalam solat. Jika tidak faham, bagaimana hendak menghayatinya? Kita sujud, tapi hati tidak sujud. Kita ucapkan ‘Subhanallah’ tetapi tidak terasa sedang mensucikan-Nya.”
“Itu baru kalimat yang mudah-mudah. Belum lagi doa Iftitah, Al-fatihah, Tasyahud, Qunut dan lain-lain. Dah hafal tapi tak faham maknanya.”

“Tu dah kira baik, ramai juga yang masih tidak hafal bacaan solat,” tambahnya
“Tu yang solat. Yang tak solat?”
Dia menggeleng-geleng.
“Tak hairan kemungkaran berleluasa di tengah masyarakat. Bila tak solat, mana ada kemampuan dalam diri untuk tidak melakukan kejahatan dan kemungkaran?”
“Cukuplah tu. Sekarang kita kira kita dulu. Mari kita semak semula makna tersurat dan tersirat pada rukun qauli, qalbi dan fik’li ni.”
“Ustaz , ni baru sedikit. Hanya beberapa kerat ayat Quran, salawat, tasbih, takbir dan tahmid, macam mana agaknya dengan 6,666 ayat dalam al-quran tu ya?”
Saya terdiam. Betapa terasa agama ini kita ikuti tanpa erti, kita amalkan tanpa penghayatan. Seperti pelajar yang membaca buku tetapi tidak faham, bolehkah dia lulus dalam peperiksaan?
Ya, bayangkan bagaimanakah agaknya rasa kita kalau menerima sepucuk surat daripada seorang kekasih, tetapi kita tidak faham apa yang dituliskannya. Allah – “Kekasih” orang yang beriman itu telah mengutus 114 surahnya; berapa surah yang kita tahu maknanya, faham tafsirannya, amal kehendaknya dan perjuangkan tuntutannya? Benar-benarkah kita cintakan Allah jika “surat cinta”-Nya (Al-Quran) tidak kita usahakan untuk membaca, memahami dan menghayatinya? Alhasil, 114 surat cinta-Mu kami persiakan begitu sahaja....
Ya Allah , ampunilah kami yang jauh daripada solat, jauh daripada al-quran, jesteru terlalu jauh dengan-Mu! Astaghafirullah hal’azim. Bukan Kau ya Allah yang jauh, tapi kami ini yang menjauh.
~Dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...